Sunday, February 19, 2012

Pilihan dalam hidup.....????

Manusia selalu buat pilihan dalam hidup dan pilihan akan membawa perubahan dalam kehidupan manusia tersebut. Samada ke arah yang lebih baik, buruk atau tiada apa yang berlaku setelah suatu pilihan dibuat.

Yang pasti aku juga tak terlepas dari golongan manusia yang banyak membuat pilihan dalam hidup aku ini. Samada senang atau susah, aku tetap perlu memilih. Ada pilihan yang aku buat tanpa aku fikir baik atau buruknya dan ada pilihan yang dibuat setelah lama menimbang sebab dan akibatnya.

Kadang-kadang pilihan itu memberi kebaikan kepada aku dan semestinya ada pilihan yang buat aku menyesal dan kecewa. Seorang sahabat menceritakan bahawa lelaki mempunyai akal yang panjang, maknanya lelaki lebih berfikir panjang dalam membuat pilihan. Aku yakin dengan apa yang dikatakan namun apabila seorang lelaki itu membuat pilihan tanpa berfikir panjang mungkin beliau yakin dengan pilihan tersebut atau mungkin itu pilihan berlandaskan hawa nafsu.

Aku sering melihat manusia mengeluh jika salah memilih dan aku juga salah seorang dari mereka. Yang pasti pilihan yang salah itu akan memberi pengajaran supaya manusia lebih berhati-hati dalam membuat pilihan. Ada pilihan yang mana sukar untuk aku buat kerana terfikir apakah kesan pilihan ini kepada aku dan bagaimana reaksi orang-orang di sekeliling aku dan itu membuat aku berfikir terlalu lama untuk membuat pilihan. Alhamdulillah pilihan tersebut memberi lebih impak positif walaupun ada kesan negatifnya.

Aku pernah disuruh untuk membuat solat sunat Istikharah jika menghadapi kesukaran dalam membuat pilihan. Meminta pertolongan dan petunjuk dari Allah adalah jalan yang terbaik. Dialah Maha Pencipta dan kita hamba-Nya. Tak ada halangan untuk kita meminta pertolongan dan tiada halangan bagi-Nya untuk memperkenankan segala hajat kita.

Sejauh mana hebatnya kita, setinggi mana akal fikiran kita, kita tetap adalah selemah-lemah manusia dalam membuat pilihan. Dia yang Maha Mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk untuk kita.

Aku lemah dalam membuat pilihan tapi aku tetap perlu memilih dan kuharapkan setiap pilihan akan membawa aku kepada perubahan yang lebih baik. Baik untuk diri aku dan orang di sekeliling aku. Aku juga berharap Allah akan memberkati setiap pilihan yang aku buat, Insyaallah..Amin.